..InsPiRasi HuMaiRa..

dalam ketegasanmu terselit kelembutan..dalam kesungguhanmu terselit seribu duka penderitaan..jerit perihmu menuju puncak kegemilangan..kau..syaukah istimewa..dipagari sinar nur islami..

Archive for the day “March 1, 2009”

Dari Sayeda ke Raba’ah..

Pagi yang dingin.

Penat semalam masih lagi berbaki.

Seawal jam 6 pagi,saya memulakan langkah menuju ke stesen metro Sayeda Zenab untuk meneruskan perjalanan saya ke Raba’ah. Hati meronta-ronta mahu cepat-cepat sampai ke rumah Syeikhah Efat. Tinggal sejam lagi untuk saya memulakan kelas qiraat bersama syeikhah yang amat saya kagumi. Mata saya melilau memandang ke kiri dan ke kanan,melihat kalau-kalau ada perempuan arab yang turut bersama saya di stesemnmetro itu.Namun,hampa..di sekeliling saya,semuanya lelaki..timbul perasaan seram sejuk dalam hati.Cepat-cepat mulut terkumat-kamit membaca zikir dan ayat pelindung diri,minta dijauhkan dari malapetaka yang tidak diingini.

Saya mempercepatkan langkah menuju ke bahagian gerabak perempuan. Ketika kaki melangkah masuk ke dalam gerabak itu,jiwa saya makin resah. Mana tidaknya, semuanya LELAKI! Aduh! memang saya yakin bahawa itu gerabak yang dikhaskan untuk wanita,tapi mengapa pula kaum Adam yang mendominasinya? Saya beristighfar panjang. Pengalaman lalu membuatkan diri ini lebih berhati-hati. Saya mencari-cari posisi yang sesuai dan membetulkan letak duduk agar berasa selesa di dalamnya. Namun,hati ini berdebar-debar! saya terus mencari-cari sesuatu di dalam beg saya. Mujurlah pin kecil dan ‘spray’ ada-langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan. Di hadapan saya,seorang pemuda khusyuk membaca Al-Quran,suaranya sayup-sayup menerjah gegendang telinga ini. Saya hanyut ditenggelami alunan bacaan al-Quran daripadanya. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan resah yang bertaut di jiwa..

“Ghamra”– terpampang tulisan ini di dinding batu stesen metro Ghamra. Alhamdulillah,sudah sampai. 25 minit lagi masa berbaki. Saya terus berlari-lari anak mengejar ‘tremco'(micro bus) untuk ke Raba’ah. Alhamdulillah,tidak sampai 5 minit,tremco yang saya nanti-nantikan muncul jua. Sekali lagi saya terkejut,semua yang berada di dalamnya semuanya lelaki! Ya Allah! Selamatkan hambaMu ini.. namun,menyedari bahawa masa semakin suntuk,maka saya terus menaikinya dan terus duduk di bahagian hadapan sekali. Rahsianya- walaupun takut,tapi buat-buat berani! Alang-alang menyeluk pekasam,biar sampai ke pangkal lengan! Sepanjang perjalanan,hati saya tidak henti-henti berzikir padaNya.Mohon dilindungi dari mara bahaya. Alhamdulillah,akhirnya saya sampai juga ke destinasi yang dituju. Tremco betul-betul berhenti di hadapan masjid Raba’ah(Rabiatul Adawiyah). Setelah mengucapkan terima kasih kepada pemandu, saya meneruskan langkah .

Walaupun lewat 5 minit daripada waktu asal,namun keceriaan yang terpancar di wajah Syeikah tatkala menyambut kedatangan saya menghilangkan segala keletihan dan keresahan yang diharungi sepanjang perjalanan dari Sayeda Zainab ke Raba’ah yang memakan masa selama sejam. “Ahlan..ahlan..”,katanya sambil menyambut saya dengan senyuman. Senyum-senyum pagi! Kelas pada pagi itu dimulakan dengan memperdengarkan bacaan tasmi’ oleh saya dan Anisah. Kemudian,syeikhah mengajar kami qiraat yang baru iaitu riwayat Nafi’- bacaan Qalun. Alhamdulillah,sesi selama 2 jam berlalu dengan begitu pantas. Kami menamatkan kelas dengan memperdengarkan bacaan riwayat Qalun kepada syeikhah. Selepas itu,kami terus berkejar untuk ke kuliah. Masa berbaki 20 minit.Apa lagi,terkocoh-kocoh adegan kejar mengejar berlaku sekali lagi!Hasilnya,kami berjaya menahan sebuah teksi biarpun bayarannya agak mahal-12 L.E. Teksi terus meluncur laju meredah kebisingan bandar Kaherah yang mulai sesak .

Alhamdulillah, walaupun agak kepenatan pada hari ini,namun Allah masih lagi memberikan kekuatan kepada hambaNya untuk terus beribadah padaNya walau dengan apa cara sekalipun. Pengajaran yang saya dapat pada hari ini ialah “kalau kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu,maka usahakanlah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh,mudah-mudahan Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita usahakan“.

Titipan ringkas sebagai perkongsian dengan sahabat-sahabat semua. “semoga diri ini thabat dalam perjuangan di jalanNya”

demimasa

Post Navigation